Rabu, 30 November 2022

FAKTOR

                     Perbalahan antara non-muslim dan muslim

-Tanggapan buruk terhadap imej Islam

Masyarakat non-Muslim bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia melihat akan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Hal ini berlaku adalah kerana negara Islam sendiri telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Akibat daripada perpecahan ini, banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah. Diantara sebab umat Islam berpecah ialah kerana lahirnya pelbagai parti politik dan pertubuhan dakwah dan sifat ketaksuban terhadap pemimpin. Hal ini menyebabkan, proses dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya (Aziz Jamaludin, 2011). Peristiwa sebegini akhirnya menyebabkan masyarakat non-Muslim menjauhkan diri dengan masyarakat Islam.

Selain itu, imej bangsa Melayu di mata masyarakat bukan Islam juga kurang baik. Masyarakat Melayu sering disifatkan sebagai pemalas, mengamalkan rasuah, gila kuasa dan tidak pandai berdikari (Khairul Azhar, 2013).

-Masyarakat non-Muslim terpengaruh dengan agenda Barat

Kita dapat lihat bagaimana pihak Barat menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah. Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai ortodoks, fundamental dan konservatif. Istilah-istilah tersebut kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan. Manakala, di atas dasar perasaan takut, mereka kemudian mencipta pula persepsi Islamofobia dan mengaitkannya dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan lain-lain tindakan jenayah. Sehinggakan, mereka membentuk persepsi bahawa pakaian yang digunakan sebahagian masyarakat Islam sebagai amat menakutkan atau ditafsirkan mempunyai kaitan dengan penjenayah. Oleh yang demikian, ikon Islam sudah dilihat sebagai suatu perkara yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia. Selain itu, menara masjid juga dilihat sebagai faktor yang mendorong kepada keganasan. Perspektif yang salah ini semakin berkembang dalam masyarakat Barat sehinggakan terdapat negara yang berusaha untuk menggubal undang-undang mereka bagi melarang apa sahaja unsur yang berkaitan dengan Islam (Aziz Jamaludin, 2011).

Tambahan pula, terdapat penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem ‘Innocence of Muslim’ arahan Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah s.a.w. serta menunjukkan salah faham terhadap agama Islam itu sendiri (Azizan Baharuddin el at, 2014). Filem-filem lain seperti ‘Taken’ dan ‘Escape Plan: Hades’ pula menggambarkan imej orang Islam yang membawa watak yang jahat. Menurut Azizan Baharuddin el at (2014), Perkara seperti ini terjadi berikutan dengan beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seperti peristiwa 11 September 2001 di New York sebagai pencetus kepada fenomena Islamofobia. Pada hari tersebut, kira-kira 2,996 nyawa telah terkorban. Selain itu, peristiwa pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang juga pengeboman di London pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim. Peristiwa-peristiwa seperti ini akhirnya menyebabkan umat Islam dikaitkan dengan keganasan

-Kefahaman rendah masyarakat non-Muslim terhadap Islam

Selain itu, kefahaman yang rendah oleh masyarakat non-Muslim terhadap ajaran Islam menimbulkan salah faham. Di dalam Abdull Rahman el at (2009), Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berpandangan ajaran Islam tidak banyak diberikan kepada orang bukan Islam. Ajaran Islam yang sampai kepada mereka hanyalah secara umum sahaja seperti tidak boleh minum arak, tidak boleh makan babi, sehingga perkataan babi pun takut untuk digunakan dan digantikan dengan perkataan khinzir. Apabila ini berlaku, maka orang bukan Islam akan memandang serong kepada agama Islam kerana mereka tidak memahami kenapa dan mengapa suatu perkara itu dilarang kerana tidak mendapat penjelasan yang terperinci.

Dalam Abdull Rahman el at (2009) juga menyatakan suatu kajian yang dijalankan oleh Osman Chuah Abdullah (2005) terhadap 100 responden yang terdiri daripada masyarakat Cina yang bukan Islam mengenai kefahaman mereka mengenai Islam. Daripada 100 orang responden, 82 daripadanya menafikan Islam adalah salah satu cara hidup, 88 responden tidak mengetahui rukun Islam dan 84 responden juga tidak mengetahui mengenai rukun iman. Melalui responden yang sama, 61 orang daripada mereka menafikan Muhammad sebagai pesuruh Allah. Kira-kira 72 daripada mereka mendakwa Islam hanyalah suatu agama yang sama seperti agama-agama yang lain. 90 responden pula menyatakan tiada orang Islam yang datang kepada mereka untuk memberi penerangan tentang Islam dan 80 orang daripada mereka menyatakan Islam adalah agama yang ketinggalan zaman.

Selain itu, suatu kajian lain yang dijalankan oleh Aminudin Ruskam al-Dawamy (2002) di dalam Abdull Rahman (2009) berkenaan perspektif masyarakat Cina berpelajaran terhadap agama Islam di Malaysia mendapati bahawa responden bersetuju masuk Islam bermakna menjadi Melayu, masuk Islam memutuskan hubungan keluarga, amalan poligami tidak memberi keadilan kepada wanita, masyarakat bukan Islam diberikan maklumat yang kurang tepat mengenai ajaran Islam dan faktor orang Cina menganut Islam kerana tertarik dengan cara hidup orang Islam. Khairul Azhar (2013) juga berpendapat bahawa kebanyakan golongan bukan Muslim sebenarnya masih keliru terhadap agama Islam dan bangsa Melayu. Doktrin Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu masih kuat bertapak dalam pemikiran sebahagian besar golongan bukan Islam di negara ini. Isu seperti menukar nama dan bin, amalan berpakaian, cara hidup dan terputus hubungan dengan keluarga asal masih menghantui mereka yang bukan Islam walaupun telah dijelaskan oleh sarjana Muslim di negara ini. Maka, segala prejudis terhadap masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan agama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan