Rabu, 30 November 2022

PENGHARGAAN



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih serta selawat dan salam buat junjungan maha Nabi Muhammad SAW. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, maka tugasan yang diberikan telahpun selesai.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada pensyarah Pengajian Islam kami iaitiu PUAN NOR ARYADA BINTI MAHMAD yang telah banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini.  Begitu juga dengan rakan seperjuangan saya yang banyak berkongsi maklumat dan motivasi untuk menyiapkan hasil tugasan ini.

Terima kasih banyak-banyak kepada rakan kumpulan saya yang gigih mencari pelbagai maklumat siang dan malam dalam melengkapkan tugasan yang diberi ini. Mereka juga telah banyak mencurahan idea yang bernas untuk mnyiapkan tugasan ini.

Akhir sekali, terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung .Semoga segala kerjasama yang diberikan ini akan diberkati Allah SWT. Semoga hasil tugasan kami ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana untuk dijadikan sebagai pengajaran.

PENGENALAN

 

                    Perpaduan dalam kepelbagaian kaum


Negara kita iaitu Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada bangsa, agama dan budaya yang berbeza. Islam dan Melayu bumiputera merupakan agama juga bangsa majoriti masyarakat Malaysia. Sebagai sebuah negara Islam, kita memegang prinsip yang diajarkan oleh agama Islam iaitu untuk menerima kehadiran agama lain serta berbuat baik sesama manusia. Oleh yang demikian, kertas kerja ini ditulis bertujuan untuk melihat apakah 'PANDANGAN SERONG MASYARAKAT NON-MUSLIM TERHADAP MUSLIM DI MALAYSIA'.

OBJEKTIF KAJIAN

                   Jaga silaturahim tanda kesempurnaan iman

Objektif blogger ini adalah untuk menyelidik tentang punca berlakunya salah faham yang berlaku sekarang. Melalui kerja kursus ini kami mengenalpasti punca berlakunya pandangan serong masyarakat non-muslim terhadap muslim di Malaysia dan cara mengatasinya. Selain itu,kami juga dapat mencari dan menghuraikan tanggapan masyarakat non muslim terhadap Islam. Secara khususnya, penyelidikan ini adalah seperti berikut:


-Kami dapat mengenali lebih mendalam tentang pemikiran masyarakat bukan Islam.

-Dapat mengenali lebih lagi tentang Islamfobia. Sebab berlakunya Islamfobia.

-Kami juga dapat mengetahui cabaran - cabaran yang dilalui oleh masyarakat Islam untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

-Kami dapat mengenal pasti punca berlakunya pandangan serong masyarakat bukan Islam terhadap yang beragama islam.

CADANGAN

 

                               Keharmonian masyarakat

MENGADAKAN SEMINAR KEFAHAMAN AGAMA & BUDAYA

Oleh kerana banyak kekeliruan yang timbul apabila seseorang itu memeluk Islam seperti istilah ‘masuk Melayu’, maka seminar ini hendaklah juga dianjurkan terutama sasarannya kepada ahli-ahli badan dakwah. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bahawa saudara baru masih kekal dengan identitinya bangsa walaupun telah memeluk Islam selagi mana adapt budayanya tidak bercanggah dengan Islam. Identiti Saudara Baru dan Pengamalan Adat Budaya


MELAKUKAN DAKWAH MELALUI MEDIA ELEKTRONIK

Satu perbincangan khas hendaklah dibuat dengan stesen-stesen TV dan radio di negara kita untuk mendapatkan beberapa slot khas misalnya, TV1,TV2, TV3, NTV7, TV8 dan TV9. Isu-isu yang boleh dibincangkan berkaitan isu-isu agama Islam yang disalahfahamkan dan isu-isu semasa kontroversi yang memerlukan penerangan dari perspektif Islam. Stesen-stesen tv ini janganlah terlalu bersifat komersial, terutama stesen tv swasta. Sudah sampai masanya kita berfikir untuk memanfaat alat ini demi kepentingan masa depan agama dan dakwah


MENGADAKAN SAMBUTAN PERAYAAN YANG TIDAK BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Antara perayaan besar negara yang perlu disambut oleh jabatan agama dan pertubuhan dakwah dengan melibatkan jemputan pelbagai kaum ialah sambutan bulan puasa, hari raya puasa, hari raya Quran, tahun baru Cina, pesta tanglung (Moon Cake Festival), dan sebagainya. Acara-acara yang boleh diselitkan adalah jamuan makan melibat jemputan parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Aturcara jamuan tersebut boleh diselitkan program kefahaman Islam, forum antara budaya dan persembahan lagu-lagu memuji tuhan dalam pelbagai bahasa dan sebagainya.

FAKTOR

                     Perbalahan antara non-muslim dan muslim

-Tanggapan buruk terhadap imej Islam

Masyarakat non-Muslim bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia melihat akan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Hal ini berlaku adalah kerana negara Islam sendiri telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Akibat daripada perpecahan ini, banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah. Diantara sebab umat Islam berpecah ialah kerana lahirnya pelbagai parti politik dan pertubuhan dakwah dan sifat ketaksuban terhadap pemimpin. Hal ini menyebabkan, proses dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya (Aziz Jamaludin, 2011). Peristiwa sebegini akhirnya menyebabkan masyarakat non-Muslim menjauhkan diri dengan masyarakat Islam.

Selain itu, imej bangsa Melayu di mata masyarakat bukan Islam juga kurang baik. Masyarakat Melayu sering disifatkan sebagai pemalas, mengamalkan rasuah, gila kuasa dan tidak pandai berdikari (Khairul Azhar, 2013).

-Masyarakat non-Muslim terpengaruh dengan agenda Barat

Kita dapat lihat bagaimana pihak Barat menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah. Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai ortodoks, fundamental dan konservatif. Istilah-istilah tersebut kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan. Manakala, di atas dasar perasaan takut, mereka kemudian mencipta pula persepsi Islamofobia dan mengaitkannya dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan lain-lain tindakan jenayah. Sehinggakan, mereka membentuk persepsi bahawa pakaian yang digunakan sebahagian masyarakat Islam sebagai amat menakutkan atau ditafsirkan mempunyai kaitan dengan penjenayah. Oleh yang demikian, ikon Islam sudah dilihat sebagai suatu perkara yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia. Selain itu, menara masjid juga dilihat sebagai faktor yang mendorong kepada keganasan. Perspektif yang salah ini semakin berkembang dalam masyarakat Barat sehinggakan terdapat negara yang berusaha untuk menggubal undang-undang mereka bagi melarang apa sahaja unsur yang berkaitan dengan Islam (Aziz Jamaludin, 2011).

Tambahan pula, terdapat penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem ‘Innocence of Muslim’ arahan Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah s.a.w. serta menunjukkan salah faham terhadap agama Islam itu sendiri (Azizan Baharuddin el at, 2014). Filem-filem lain seperti ‘Taken’ dan ‘Escape Plan: Hades’ pula menggambarkan imej orang Islam yang membawa watak yang jahat. Menurut Azizan Baharuddin el at (2014), Perkara seperti ini terjadi berikutan dengan beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seperti peristiwa 11 September 2001 di New York sebagai pencetus kepada fenomena Islamofobia. Pada hari tersebut, kira-kira 2,996 nyawa telah terkorban. Selain itu, peristiwa pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang juga pengeboman di London pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim. Peristiwa-peristiwa seperti ini akhirnya menyebabkan umat Islam dikaitkan dengan keganasan

-Kefahaman rendah masyarakat non-Muslim terhadap Islam

Selain itu, kefahaman yang rendah oleh masyarakat non-Muslim terhadap ajaran Islam menimbulkan salah faham. Di dalam Abdull Rahman el at (2009), Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berpandangan ajaran Islam tidak banyak diberikan kepada orang bukan Islam. Ajaran Islam yang sampai kepada mereka hanyalah secara umum sahaja seperti tidak boleh minum arak, tidak boleh makan babi, sehingga perkataan babi pun takut untuk digunakan dan digantikan dengan perkataan khinzir. Apabila ini berlaku, maka orang bukan Islam akan memandang serong kepada agama Islam kerana mereka tidak memahami kenapa dan mengapa suatu perkara itu dilarang kerana tidak mendapat penjelasan yang terperinci.

Dalam Abdull Rahman el at (2009) juga menyatakan suatu kajian yang dijalankan oleh Osman Chuah Abdullah (2005) terhadap 100 responden yang terdiri daripada masyarakat Cina yang bukan Islam mengenai kefahaman mereka mengenai Islam. Daripada 100 orang responden, 82 daripadanya menafikan Islam adalah salah satu cara hidup, 88 responden tidak mengetahui rukun Islam dan 84 responden juga tidak mengetahui mengenai rukun iman. Melalui responden yang sama, 61 orang daripada mereka menafikan Muhammad sebagai pesuruh Allah. Kira-kira 72 daripada mereka mendakwa Islam hanyalah suatu agama yang sama seperti agama-agama yang lain. 90 responden pula menyatakan tiada orang Islam yang datang kepada mereka untuk memberi penerangan tentang Islam dan 80 orang daripada mereka menyatakan Islam adalah agama yang ketinggalan zaman.

Selain itu, suatu kajian lain yang dijalankan oleh Aminudin Ruskam al-Dawamy (2002) di dalam Abdull Rahman (2009) berkenaan perspektif masyarakat Cina berpelajaran terhadap agama Islam di Malaysia mendapati bahawa responden bersetuju masuk Islam bermakna menjadi Melayu, masuk Islam memutuskan hubungan keluarga, amalan poligami tidak memberi keadilan kepada wanita, masyarakat bukan Islam diberikan maklumat yang kurang tepat mengenai ajaran Islam dan faktor orang Cina menganut Islam kerana tertarik dengan cara hidup orang Islam. Khairul Azhar (2013) juga berpendapat bahawa kebanyakan golongan bukan Muslim sebenarnya masih keliru terhadap agama Islam dan bangsa Melayu. Doktrin Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu masih kuat bertapak dalam pemikiran sebahagian besar golongan bukan Islam di negara ini. Isu seperti menukar nama dan bin, amalan berpakaian, cara hidup dan terputus hubungan dengan keluarga asal masih menghantui mereka yang bukan Islam walaupun telah dijelaskan oleh sarjana Muslim di negara ini. Maka, segala prejudis terhadap masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan agama



KESIMPULAN

 

                      Jangan bermusuh sesama kaum


Setelah penghuraian dibuat di atas, disini saya boleh menyimpulkan bahawa di Malaysia mendapat pelbagai tanggapan dan pandangan daripada perspektif masyarakat bukan Islam terutamanya bangsa Cina dan India di Malaysia. Walaupun negara Malaysia diletakkan sebagai negara Islam, masih lagi banyak yang perlu diperbaiki dari pelbagai sudut bagi meningkatkan serta memartabatkan imej agama Islam di bumi Malaysia. Walaupun pada waktu ini, proses Islamisasi bukanlah dilihat sebagai suatu proses yang disenangi oleh masyarakat bukan Islam yang rata-ratanya dipengaruhi dengan sentimen negatif terhadap bangsa Melayu, namun, saya percaya bahawa usaha yang jitu serta kebersamaan masyarakat Islam di Malaysia dalam memperbaiki imej agama Islam yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini bukanlah suatu perkara yang mustahil. Proses dakwah semestinya perlu diteruskan dengan mencari punca-punca kepada masalah yang mewujudkan sentimen serta persepsi yang negatif, kemudian membaikinya dengan berusaha untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat bukan Islam serta bersama-sama mengajak mereka dalam program-program yang melibatkan aktiviti kemasyarakatan bagi merapatkan jurang walaupun berlainan bangsa dan agama. Semoga negara Malaysia pada suatu hari akan mencapai perpaduan yang lebih erat di antara semua kaum di Semenanjung juga di Sabah dan Sarawak

RUJUKAN

1) http://ridhuant.blogspot.com/2010/11/20-strategi-berdakwah-kepada-bukan.html

2) http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2018/1085-irsyad-2018.pdf

3) https://youtu.be/NPuabsGuu8o

SOALAN

1.Nyatakan dua salah faham masyarakat non muslim terhadap islam

2.Apakah punca-punca salah faham terhadap islam

3.Berikan tiga faktor non muslim pandang serong terhadap muslim di malaysia

JAWAPAN

(1) 1. menuduh islam menyembah berhala.
     2.Menganggap islam agama yang kolot.

(2) kejahilam masyarakat itu sendiri , pengaruh media massa , kurangnya pendedahan ilmu pengetahuan islam dan serangan ideologi barat.

(3) 1. Tanggapan buruk terhadap imej islam
      2. Masyarakat non muslim terpengaruh dengan agenda barat
      3. Kefahaman rendah masyarakat non muslim terhadap islam

EDITOR

 


SHARA ATHIRAH BINTI MUSTAFFA (04DPR21F2007)



NUR ALYA NADIAH BINTI YUSOFF (04DPR21F2040)



SITI ATIKAH AMIRAH BINTI AZMI (04DPR21F2025)